Catatan Popular

Khamis, 23 Jun 2011

KETIDAKADILAN TERHADAP ISLAM DAN PENDOKONG-PENDOKONGNYA

Sebagai satu analogi, saya andaikan anda seorang kontraktor Pembinaan yang mempunyai kewibawaan yang tersendiri. Dengan latarbelakang pendidikan yang menyakinkan, mempunyai keupayaan kewangan yang baik dan stabil bagi menjana modal, anda mampu membina empayer perniagaan yang kukuh, mapan serta mampu berdayasaing dalam pasaran. Walau bagaimanapun anda tidak terlepas dari masalah krisis keyakinan dan terhakisnya kepercayaan pelanggan. Sebagai seorang yang penuh berpegalaman, anda mengembeling seluruh tenaga pegawai dan kakitangan organisasi anda, daripada arkiteknya, jurutera, petugas pentadbiran sehinggalah krew promosi agar bekeja keras dalam usaha merebut kembali kebolehpercayaan pelanggan. Dari rekod masa lampau anda, terbukti anda telah melaksanakan pelbagai projek pembinaan dengan begitu cemerlang dan berkualiti. Baik dari sudut rekabentuk, ketahanan strukturnya hinggalah kepada penawaran harga. Anda berjaya mengharungi sepak terajang alam perniagaan sebagai kontraktor pembinaan dengan jayanya. Itu semua cerita lama, kini ada tetap dilihat gagal meraih minat dan simpati pembeli. Rekod cemerlang masa lalu tidak dipeduli dan terperap dalam lipatan sejarah.

Dalam situasi ini, rakan pesaing anda yang memang anda kenali sejarah jatuh bangunnya dalam dunia perniagaan kontraktor mengisi kekosongan di hati pembeli. Dia dilihat berjaya menambat keyakinan para pembeli walaupun anda dan umum sangat mengetahui kejengkelan kualiti hasil pembinaannya. Promosi melampau serta melangkaui realiti dengan eleman penipuan yang dibaluti eksesori yang menyilau pandangan tenyata telah memenangkannya. katakanlah diakhirnya, kebanyakan projek pembinaan yang dibangunkan oleh rakan pesaing anda itu telah mengalami bencana. Sebahagian besar rumah-rumah kediaman, kedai, sekolah, pasaraya, pusat komuniti masyarakat dan lain-lain rosak disana sini. Pendeknya rumah-rumah dan binaan tersebut tidak dapat menenuhi kehendak dan piawaian bagi kelangsungan  kehidupan manusia.

Apa yang memeranjatkan anda, pembeli-pembeli serta pengguna yang terlibat, tiba-tiba mengambil kata sepakat menyalahkan anda dalam masalah tersebut. Anda dituduh tidak mengambil peranan dalam memastikan bencana dan kerosakan itu dapat dihindarkan. Anda didakwa tidak turun padang untuk bersama-sama menangani masalah yang timbul, Anda dipersoalkan dari sudut kebolehgunaan, menafaat ilmu  serta kepakaran yang anda miliki. Pendeknya, semua faktor kerosakan, baik struktur bangunan, ketidaksesuaian rekabentuk, kualiti & kuantiti bahan binaan serta harga menjadi ungkitan dan disangkut di bahu anda! Seolah-olah segala masalah dan kehancuran yang mereka lalui adalah berpunca daripada anda!

Mereka mendesak anda mencari formula, pendekatan terbaik bagi memperbaiki segala kerosakan tersebut, tetapi dengan menggunakan bahan-bahan, struktur dan dengan berpandukan pelan, rekabentuk yang sedia ada. Anda tidak dibenarkan melaksanakan pembangunan serta pembaikan semula tersebut berdasarkan ilmu dan pengetahuan anda!. Anda juga samasekali tidak diberi kesempatan memilih bahan-bahan bermutu bagi urusan pemulihan. Sekarang saya bertanya, adakah anda merasakan anda telah dilayan dan diperlakukan secara adil?. Wajarkah anda dipersalahkan dan didesak mencari jalan keluar kepada permasalahan yang bukan berpunca dari anda? Kerosakan yang berlaku bukan natijah dari sistem, prosedur, peralatan, bahan dan peraturan yang anda amalkan.. Tidak cukup dengan itu, anda dipaksa bekerja keras, disaran 'turun padang' menyelesaikan masalah dengan berpandukan prosudur, peraturan-peraturan lama yang jelas tidak membantu memberikan kekuatan kepada struktur binaan yang dibangunkan. Anda tidak diberi pilihan untuk melaksanakan peraturan, prosudur yang pernah melonjakan agensi anda dengan sewajarnya. Tanya diri anda, dalam  senario seumpama ini apa yang mampu anda lakukan? 
Kalau anda ingin tahu, begitulah kedudukan islam di mata manusia pada akhir zaman ini. Anda dan organisasi anda umpama Islam dan Pendokongnya yang menjadi mangsa dan dikambing hitamkan bila berlaku kehancuran serta kemusnahan nilai, akhlak dan peradaban hidup insan. Islam dipersalahkan dan diminta menyelesaikan segala kebobrokan yang lahir BUKAN hasil dari sistem dan peraturan yang ditetapkan oleh Islam. Saingan anda itu adalah lambang bagi sistem kehidupan, isme, idealogi baru yang di anuti oleh umat manusia dengan menolak Islam yang pernah membina kecemerlangan ketamadunan hidup manusia suatu ketika dahulu. Pengguna, pembeli adalah analogi mereka yang tersepit dicelahan kehancuran dan kegagalan isme-isme ciptaan manusia itu merintih, mengadu, mencari-cari jalan penyelesaian terbaik. Akhirnya Islam dilihat paling berpotensi sebagai penyelamat namun amat malang pula bila sistem kehidupan Islam yang menyeluruh yang ditawarkan untuk diterap atau dijadikan asas kepada segala urusan kehidupan tidak cenderung untuk dipraktikan.

Bukan bermakna Islam tidak boleh atau tidak sudi menjadi mekanisme penyelamat. Undang-undang dan peraturan kehidupannya yang lengkap serta mencangkupi segenap urusan kehidupan manusia terkandung di dalam Kitab Suci AlQuran, Sunnah Baginda Rasullullah telah terbukti  berjaya. Sejarah telah mencatatkan bagaimana Rasulullah, para sahabat, pengikut-pengikut sahabat serta pengikut kepada pengikut sahabat melangkaui hingga ke era pemerintahan Kerajaan Islam Uthmaniah telah membawa Islam melebarkan naungan keamanannya hingga melebihi separuh planet dunia ini. Kita mungkin boleh mengatakan 'berikan peluang kepada Islam melaksanakan kerja-kerja penyelesaian dan baikpulih ini dengan sistemnya sendiri atau kamu boleh memilih untuk meneruskan kehancuran ini bersama-sama jalan pilihanmu tetapi jangan menyalahkan kami kerana kehancuran itu.' Wallah hu a'lam.

Ahad, 5 Jun 2011

TERPEDAYA DENGAN ANGKA

Setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, tanpa mengira tahap apapun peperiksaan tersebut, samada UPSR, PMR, SPM ataupun STPM ibubapa mula keluhkesah, berdebar-debar dan tidak kurang yang mula tenggelam punca memikirkan arah hala tuju kehidupan masa depan anak-anak. Pihak sekolah pula mula mencongak graf pencapaian murid-muridnya, mengacu-banding dengan pencapaian tahun-tahun sebelumnya  atau dengan sekolah-sekolah lain. Adalah menjadi impian semua pengetua dan pihak pentadbiran sekolah agar nama sekolah mereka terpampang didada akhbar, kecemerlangan yang dicapai menjadi bahan liputan pelbagai saluran media  dan yang lebih penting KPI yang disasar melonjakkan nama mereka, untung-untung dijeling pihak kementerian untuk dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat! Di satu pihak yang lain, para pelajar tidak kurang juga diselubungi pelbagai aneka emosi.

Tiada yang janggal bagi sekolah yang berorentasi pendidikan sekular mengejar kecemerlangan pelajarnya hanya berdasarkan kejayaan didalam peperiksaan, mengimpikan angka 100% sepanjang masa , berwiridkan A,A dan A, tiada A melainkan A!.Tidak hairanlah sekiranya diberitakan ada sekolah tertentu yang sanggup menghalang pelajar yang dilihat tidak berpotensi untuk lulus daripada menduduki peperiksaan semata-mata untuk menjaga prestij sekolah, semata-mata untuk mempertahankan persennya!.Pelajar persis robot yang dipaksa menelan segala, teori, formula, menghafal fakta, kaedah dan angka serta dimuntahkan kembali di kepingan-kepingan kertas jawapan. Namun apa yang mendukacitakan kita terdapat juga sekolah yang dilahirkan oleh majlis dan jabatan agama islam pun menjadikan angka ini sebagai nawaitu utama visi & misi mereka.

Tanyalah ibubapa di Bandaraya Kuala Lumpur yang menyekolahkan anak-anak mereka disekolah rendah agama (petang) bila setiap kali keputusan peperiksaan UPSRA (Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama-Dibawah seliaan Majlis Agama Islam) dikeluarkan. Ibubapa yang cenderung dengan pendidikan agama tentu berbangga dan sejukhati sekiranya anak mereka memperolehi kecemerlangan dalam ujian ini, terutama yang memperolehi 7 atau  8A dalam mata pelajaran senawi ini. Dan sudah tentu bercita-cita agar anak-anak mereka dapat meneruskan pengajian agama di peringkat menengah di sekolah agama yang terbaik. Apakah tercapai cita-cita murni ibubapa dan anak-anak ini? Ya, sekiranya anak-anak mereka turut memperolehi kecemerlangan yang sama dalam Peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah-dibawah seliaan Kementerian Pelajaran) Jika anak-anak ini sekadar memperolehi 3A atau kurang, ibubapa boleh melupakan impian mereka, gulung elok-elok Sijil UPSRA ataupun UPSR dan simpan sajalah. Jangan kata hendak memasukkan anak ke SEKOLAH agama, untuk mendapat tempat di dalam KELAS ALIRAN AGAMA di sekolah-sekolah biasa pun belum tentu diterima. Memasukan anak-anak yang cemerlang dalam UPSRA ke sekolah-sekolah agama di bawah Kementerian Pendidikan hanya sekadar impian kosong ibubapa , adalah menjadi dasar kementerian, mereka hanya melihat kelulusan atau pencapaian akademik melalui sistem peperiksaan yang mereka kendalikan sahaja. Kecemerlangan dalam UPSRA tidak berguna bagi mereka sekiranya pencapaian UPSR tidak setinggi  mana. Pendeknya mereka mendahulukan anak-anak 'kandung ' mereka! Anak-anak kandung Majlis / Jabatan agama Islam, mereka perlu menunggu dan menunggu!.Jadi sebagai jalan keluar, bagi ibubapa yang inginkan anak-anak mereka yang cemerlang di bidang agama ini meneruskan kecemerlangan di peringkat menengah, carilah sekolah-sekolah agama persendirian yang tumbuh bagai cendawan di musim hujan terutama disekitar lembah kelang.

Bagaimana dengan sekolah menengah agama seliaan Majlis / Jabatan agama? Tidak adakah sekolah menengah agama?Ada! tetapi amat terhad di Bandaraya Kuala Lumpur dan terdapat beberapa buah di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor. Apakah Jabatan/ Majlis Islam tidak memperdulikan anak-anak kelahiran mereka yang cemerlang di dalam Peperiksaan UPSRA. Sukar untuk menyatakan tahap kepedulian mereka terhadap pelajar-pelajar ini, tetapi dari pengalaman ibubapa yang menghadapi masalah ini, ternyata mereka juga menerima layanan yang sama sepertimana yang diterima daripada Kementerian. Prosedur dan syarat kemasukan ke sekolah Menengah seliaan Majlis/ Jabatan agama ini juga sama. Kecemerlangan UPSRA dipandang umpama kaca! UPSR ditatang umpama permata!. Amat mendukacitakan bila organisasi yang mendukung misi agama mempunyai nilaitanggap sedemikan terhadap pendidikan agama.

Bukankah kefahaman dalam ilmu agama adalah suatu anugerah istimewa daripada Allah berbanding ilmu-ilmu lain. Bukankah pernah disabdakan oleh Junjungan kita bahawa Sekiranya Allah SWA menyayangi seseorang hambanya, diberikan fakih (faham) dalam halehwal agama. Jelaslah  bahawa anak-anak yang cemerlang di bidang agama adalah anak-anak yang sangat Istimewa disisi Allah. Soalnya mengapa anak-anak ini dipingirkan oleh "ibu kandung" mereka sendiri.? Sudahlah sebelum ini mereka disisihkan oleh Kementerian. Ianya berpunca dari sifat mereka yang menawaitukan angka dalam misi dan visi perjuangan mereka. Mereka terlalu bimbang anak-anak / pelajar cemerlang subjek agama (UPSRA) tetapi tidak begitu cemerlang dalam subjek akademik (UPSR) boleh menjejaskan graf kecemerlangan peperiksaan sekolah. Hati sebak, kecewa dan terselit jua rasa marah ketika mendengar pengakuan seorang pengetua salah sebuah sekolah rendah agama di bandaraya Kuala Lumpur di dalam suatu majlis penyampaian anugerah kecemerlangan peperiksaan sekolahnya bahawa, 'cukuplah segala ilmu yang diperolehi disekolah tersebut digunakan untuk amalan dalam kehidupan sebab, kecemerlangan yang mereka perolehi ini belum menjamin tempat mereka di sekolah-sekolah menengah agama, baik di sekolah menengah agama Kementerian Pendidikan maupun sekolah menengah agama di bawah seliaan Majlis / Jabatan agama'!              

Sabtu, 4 Jun 2011

PENGORBANAN UNTUK GENERASI REMAJA YANG BAKAL MEWARISI KITA

Melihat kepada trend, senario dan pelbagai cerita-ceriti yang melingkari kehidupan golongan remaja hari ini, ramai ibubapa menggeleng-gelengkan kepala, menangis tak bernada, guru-guru sekolah bagaikan sudah kehilangan idea dan kata-kata. Ratusan malah ribuan kertas kerja berhubung permasalahan remaja telah diseminarkan, didialogkan dan diforamkan oleh para cerdikpandai, namun natijah dari semua genre itu tidak 'dikerjakan'. Segala idea, cadangan dan aneka formula hasil 'pecah kepala' para Doktor, cendikiawan dan profesor hanya tertinggal di dalam lembaran kertas kerja yang gagal dikerjakan. Dimanakah silapnya?

Penulis tidak bermaksud menunding jari kepada mana-mana pihak. Catatan ini tidak mengajak pembaca mencari 'salah siapa',namun realiti yang berada di depan kita menyaksikan golongan ibubapa dan pendidik sering menjadi sasaran berhubung permasalahan ini. Saya berpeluang menyertai puluhan sesi dialog dan pembentangan kertaskerja dan kesimpulannya ibubapalah yang perlu mendepani masalah ini dari sudut kepertanggungjawabannya! Pendeknya, ibubapalah segala-galanya.

Saya pula melihat berlaku ketidakadilan bila melihat punca permasalahan diletakkan secara total di pundak ibubapa. Ya! kita bersetuju golongan ibubapalah yang perlu memainkan peranan utama dalam menentukan baik buruk kehidupan seseorang anak sebagaimana sabdaan Junjungan Baginda Rasullullah SAW: "Setiap anak dilahirkan secara fitrah (suci), ibubapalah yang mencorakkannya samada menjadi Yahudi, Nasroni atau Majusi". Disini tarbiyah, pendidikan dan siri contoh tauladan sahsiah yang mulia perlu dilterapkan oleh ibubapa dalam persekitaran keluarga masing-masing. Kegagalan dalam misi penting disektor rumahtangga ini menjadi pemangkin kepada berlakunya keruntuhan akhlak anak-anak. Saya tidak berminat bermain dengan angka, mengulang-ulang soal peratusan angka anak-anak kita yang terjebak dalam pelbagai masalah sosial. Bagi saya, jangankan seratus atau seribu, seorang sahajapun anak kita yang terjerumus, sudah cukup untuk mencelakakan umat ini.. Saya menyatakan ia tidak adil bagi kalangan ibubapa yang telah bertungkus lumus mentarbiyyah dan mendidik anak-anak mereka secukupnya, namun terpaksa berdepan jua dengan masalah ini. Apakah tidak ada pihak lain yang melihat peranan  persekitaran, peraturan sosial, penguatkuasaan undang-undang juga patut memainkan peranannya secara bersepadu dalam menangani isu ini.

Adalah amat malang bagi anak-anak yang telah ditarbiyah dan mendapat pendidikan agama secukupnya daripada ibubapa akhirnya turut menjadi mangsa akibat suasana tidak sihat persekitaran masyarakatnya, kampungnya, daerahnya, negerinya malah negaranya!.Mungkin kita menuduh mereka ini tiada jatidiri dan rapuh ketahanan rohaninya. Kita boleh membuat pelbagai andaian, namun cuba fikirkan akan seekor kucing bijak yang telah dilatih untuk tidak memakan ikan yang terhidang, namun sang kucing ini saban hari terpaksa juga melalui lorong dan simpang yang menghidangkan pelbagai specis ikan. Berapa lama sang kucing bijak ini mampu bertahan melihat ikan yang terhidang dalam rutin kitaran kehidupannya. Mengapa pemilik dan penguasa lorong-lorong laluan sang kucing itu membiarkan ikan-ikan terhidang tanpa jagaan dan kawalan saban hari. Mengapa peraturan-peraturan tertentu bagi mengawal pelbagai aktiviti-aktivit sosial sang kucing dan ikan-ikan tidak dikuatkuasakan. Saya menggunakan analogi ini untuk mengambarkan bahawa faktor atau elemen undang-undang yang baik (berkesan mengikut syara'), penguatkuasaan, tahap kepedulian (cakna / prihatin) pihak penguasa tidak boleh dikesampingkan  Dimanakah peranan peguasa setempat baik di dalam komuniti masyarakat kampong, negeri dan yang terpentingnya negara.?Kita melihat sejujurnya bahawa peranan  pemerintah jarang-jarang, malah tidak berani dihighlightkan oleh masyarakat dalam membicarakan isu ini. Kalau pembaca sering mengikuti sesi pembentangan kertas kerja seperti yang saya sebutkan di atas, adakah anda pernah mendengar catatan dalam kertaskerja;"kerajaan perlu melaksanakan undang-undang islam bagi mengembalikan kehidupan harmoni masyarakat!"Ada? Yang kita dengar:"ibubapa, ibubapa, dan ibubapa"!Kita pula lebih rela bertuankan mereka yang tidak bersedia menegakkan peraturan, undang-undang dan hukum-hakam Allah serta dalam masa yang sama menentang golongan yang bercita-cita melaksanakannya. Membiarkan penguasa-penguasa jahat ini bermaharalela merangka, meminda peraturan dan undang-undang yang sesuai dengan akal fikiran mereka di Parlimen. Di mana pula peranan kita dari sudut ini. Untuk menjawabnya saya suka anda semua merujuk kembali mafhum hadis yang saya catatkan di atas. 'Semua anak dilahirkan didunia ini suci (Fitrah) dan ibubapalah yang mencorakkannya'.Tanya hati ketika membuat pilihan dan persoal tangan anda ketika membuat pangkahan dalam  pelihanraya! itulah jawapannya.

Marilah kita sama-sama merenung peranan kita dalam keluarga, masayarakat dan negara. Apakah ada sumbangan kita biarpun sebesar zarah? Kita mungkin telah berusaha memperelokan akhlak anak-anak kita dengan tarbiyyah sewajarnya. Saya menghantar keempat-empat anak saya kesekolah yang berorentasikan pendidikan agama disamping tarbiyah secara non-formal dalam keluarga. Tiga daripadanya di institusi pendidikan swasta yang menelan pembiyaan bulanan mencecah seribu sebulan, walaupun kehidupan saya sekadar 'cukup makan' sahaja. Saya tidak bermaksud untuk berbangga-bangga, tetapi untuk menyatakan perlunya kepada usaha berganda dalam urusan tarbiyah .Saya tidak mengharapkan lebih, sekadar mengimpikan anak saya menjadi seorang 'insan' dalam ertikata sebenarnya. Itu sahaja!Sekiranya dengan cara inipun mereka masih tidak menjadi 'manusia' saya kira, saya sudah mempunyai hujah di akhirat nanti.

Di dalam komuniti masyarakat setempat, marilah kita sama-sama meninjau halehwal kehiduan seharian anak-anak remaja kita. Menyantuni geraklaku mereka dalam mewarnai kecenderungan yang pelbagai aneka di zaman ciber dan langit terbuka ini. Anak-anak saudara, jiran tetangga serta sahabat handai kita adalah anak-anak kita juga dalam usaha pentarbiyahan. Bimbinglah, tegurlah dan ajarlah mereka sesuai dengan kemampuan serta kebolehan yang kita miliki. Curahkanlah sedikit pengorbanan semampu kita. Sebagai contoh, apalah sangat dengan cerita 'bola yang disepak oleh budak-budak terkena pagar rumah kita'!.Katalah, pecah sebiji lampu atau pasu bunga kita bernilai sepuloh dua puloh ringgit. Katakanlah pecah atau rosak peralatan rumah kita natijah dari 'budak-budak bermain' berlaku setiap bulan! (walaupun tidak mungkin berlaku sebegitu) Apakah itu nilai keruntuhan akhlak anak-anak muda yang boleh kita bayar sekiranya hak mereka untuk bermain dinafikan.Apakah itu harga yang hendak kita tebus bagi anak-anak muda kita yang memilih aktiviti tidak bermoral sebagai altenatif selain bermain bola. Berfikirlah secara waras dan bijaksana. Marilah kita tinggalkan generasi remaja kita ini dalam keadaan mereka menyanyangi dan mengingati kita seadanya. Janganlah sampai mereka tergamak kencingkan kuburkan kita lantaran kegagalan kita mentarbiyah mereka atau jalan kehidupan terlalu mementingkan diri yang telah kita pilih. Wallah hu a'lam.









Jumaat, 6 Mei 2011

MEMBICARAKAN SOAL POLITIK KEPARTIAN DI DALAM MASJID- MENGAPA TIDAK BOLEH?

Saya pernah ditegur oleh seorang sahabat kerana bertanyakan soalan yang diklasifikasi oleh beliau sebagai soalan berbau 'politik kepartian' selepas selesai satu majlis ilmu di surau taman kami. Hujah beliau, politik adalah suatu yang tidak terpisah daripada Islam, ia suatu juzu' daripada Islam itu sendiri tetapi isu yang saya ketengahkan itu lebih kepada politik kepartian dan tidak sesuai di masjid atau surau!.Ia seperti sengaja mengundang bahang emosi dan menjemput kelahi! kata beliau lagi. Terasa agak jangal dalam benak terhadap pendirian sahabat saya itu, seseorang yang telah menghabiskan sebahagian besar usia kehidupannya dengan jemaah Islam, menginfakkan begitu banyak tenaga, idea, masa malah wangringgit untuk perjuangan Islam tetapi masih keliru, kabur dan gagal melihat sesuatu isu secara tepat mengikut kehendak syara'.

Sebagai hujah balas, saya tanya beliau, apakah ada suatu tindakan, gerakerja atau amalan yang kita buat di atas dunia ini dikecualikan dari hukum. Maksud saya cuba beritahu saya kerjabuat kita yang tiada kaitan hukum dosa pahala, sah batal, halal, haram, harus, makruh (tanpa mengambil kira orang gila dan kanak-kanak)?.Dia bersetuju dengan saya bahawa semua gerakerja manusia bermula dia bangun tidur diawal pagi sehinggalah kembali ke kamar untuk tidur semula pada waktu malamnya, satupun tidak terlepas dari ikatan hukum Syara'.Buatlah apapun, dari sekecil-kecil perkara seperti mencungkil gigi, mengeliat, berkumur-kumur contohnya sehinggalah kesebesar-besar perkara seperti memerintah dan menegakkan negara, disana ada hukum syara yang mengikatnya.

Sebagai seorang muslim adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengetahui hukum-hakam setiap pekerjaan yang sedang, telah dan akan saya lakukan. Lebih-lebih lagi sebagai seorang aktivis politik sudah sewajarnya saya mengambil tahu secara serius wadah dan platform perjuangan saya dari sudut hukum syaranya. Kalau saya menyertai UMNO apa hukumnya atau menyertai PAS apa pula kata syara? Saya hanya mahu melihat dan memutuskannya dari kacamata syara, bukan melalui percaturan emosi, taqlik membutatuli atau gaulan pelbagai sentimen jauh sekali dengan bersandarkan dalil isma-isma yang menyesatkan. Apakah tiada nas atau dalil Alquran serta Hadis Rasul berhubung isu ini? Mustahil! Jadi apa masalahnya untuk kita berlapang dada, menerima dengan akal dan jiwa terbuka apa sahaja yang diputuskan syara terhadap kita. Cubalah sesekali kita keluar dari tempurung ketaksuban kita kepada pandangan serta fahaman sendiri. Jangan jadikan sentimen sekeras simen.

Dimana lagi boleh saya gali khazanah ilmu untuk merungkai setiap permasalahan saya dihujung-hujung usia ini kalau bukan di surau masjid?. Apakah suatu kesalahan mencari jawapan bersumberkan hukum syara di situ? Hujah bahawa isu politik itu sensitif seakan menjadi wirid yang wajib diratib setiap hari oleh umat hari ini!Katakanlah kita setuju ia sensitif! Mengapa?.Mengapa harus sensitif? Jawapannya mudah. Tidak lain tidak bukan kerana sebahagian daripada kita enggan dan takut menerima kebenaran. Lebih-lebih lagi jika sesuatu yang tidak bertepatan syara atau ditolak oleh syara itu suatu yang amat kita sukai, sesuatu yang sesuai dengan nafsu keinginan sendiri dan lebih parah jika sesuatu yang ditolak oleh syara itu adalah menjadi anutan pemimpin atau organisasi yang dipimpin oleh pemerintah. Jadi tidak hairanlah jika Kitab Mustika Hadis (Terbitan Jabatan Perdana Menteri dan kata-kata aluannya ditandatangani sendiri oleh Perdana Menteri) yang sebahagian isi kandungannya membahaskan perkara-perkara yang membatalkan syahadah, pernah suatu ketika dahulu dilarang dikuliahkan di sebuah masjid utama di Ibu Negara!. Lebih dahsyat lagi pengarangnya, AlMarhum Syeikh Abdullah Mohammad Basmih dikatakan telah diminta agar mengisytiharkan kitab karangannya itu sebagai terbatal!. Seandainya cakap-cakap sebegitu benar ia adalah suatu yang amat malang. Bagaimanapun, Alhamdulillah! beliau tetap istiqamah mempertahankan karangannya itu sehinggalah beliau dijemput kembali oleh Allah. Alfatihah untuk Almarhum.

Kesimpulannya marilah kita melihat, memandang, meneliti APA SAHAJA kerja buat yang telah sedang dan bakal kita perlakukan dalam menjalani kehidupan ini dari kacamata syara. Belajarlah menerima kebenaran yang ada didepan kita secara rasional, lapangdada, dan penuh redha. Apa sahaja yang datang daripada Allah dan Rasulnya, terimalah, amallah dan apa yang dilarangnya tinggalkanlah. Tiada istilah Sensitif bagi setiap perkara yang dilarang oleh syara' walau sekuat mana, sebesar manapun kecintaan kita kepada perkara itu, Walaupun ia mungkin bernama UMNO atau BN!

Khamis, 5 Mei 2011

KONSEP MAJLIS BERKAMPUNG DI TAMAN DESA BAIDURI AWAM, CHERAS

Istilah 'Majlis Berkampung' bukan sahaja agak asing kepada generasi alaf baru kita hari ini, malah mungkin segelintir generasi pertengahanpun tidak begitu arif tentangnya. Bagi kalangan masyarakat melayu terutama di negeri-negeri selatan Semenanjung Malaysia dan beberapa penempatan etnik melayu di beberapa negeri lain, ia suatu yang lumrah. Majlis berkampung adalah antara cebisan budaya yang mewarnai kehidupan mereka terutama apabila anggota masyarakat setempat bakal mengadakan majlis kenduri kendara kerana meraikan perkahwinan dan keramaian yang tertentu.

Ia merupakan suatu majlis permuafakatan, mesyuarat ataupun perbincangan secara tidak formal bagi memastikan segala urusan majlis yang bakal diadakan berjalan dengan jayanya. Pembahagian tugas-tugas dibuat sesama mereka dengan dipantau oleh seorang ketua yang biasanya terdiri daripada Ketua Kampung, Penghulu, Ketua Adat dan sebagainya. Apa yang menariknya, tuan rumah atau anggota masyarakat yang 'empunya' majlis tidak lagi perlu bertungkuslumus turun padang, kerana segalanya dilaksanakan oleh anggota masyarakat seperti yang diputuskan dalam pemuafakatan Majlis Berkampung tersebut.

Warga TDBA agak bertuah kerana nilai murni budaya pemuafakatan ini masih dipertahankan di sini ketika hampir kebanyakan komuniti masyarakat melayu baik di desa , apatahlagi di kota-kota besar pada hari ini membiarkan warisan ini berkubur tanpa nisan. Di Taman Desa Baiduri (Awam), usaha mengekalkan nilai murni ini dipelopori oleh jemaah Surau AlMukhlisin. Sebahagian besar ahli jemaah telah mengambil kata sepakat menggunakan konsep dan pendekatan ini dalam melaksanakan pelbagai majlis keraian di kalangan jemaah yang berminat. Walau bagaimanapun komitmen, pengelibatan dan kesediaan untuk bekerjasama seseorang jemaah terhadap saudara jemaah lain yang telah mengadakan majlis seumpamanya sebelum itu juga diambilkira. Sehingga tarikh rencana ini ditulis, Alhamdulillah, ramai dikalangan jemaah surau yang telah memperolehi menafaat dari konsep 'berkampung' ini.

Konsep ' berkampung' ini memberikan natijah dan kesan positif yang tidak sedikit kepada mereka yang telah melaluinya, baik sebagai sebagai empunya kerja atau dikerah bekerja .  Antaranya ia menjadi titiktolak ke arah lahirnya semangat musyawarah, bertolakansur dan mengeratkan ikatan silatulrahim di antara anggota masyarakat. Dari sudut ekonomi, ternyata ia mampu mengurangkan kos perbelanjaan yang harus dipikul oleh tuan rumah. Justeru itu, adalah menjadi harapan para jemaah Surau AlMukhlisin khususnya dan seluruh penduduk TDBA umumnya agak konsep ini diperluaskan. Memandangkan Surau AlMukhlisin telah sekian lama menjadi 'pusat' cetusan idea dan markaz pengeraknya, maka sudah barang tentu warga TDBA yang berminat harus 'berjinak-jinak' menjejakkan kaki di rumah Allah ini. Buangkanlah rasa malu alah, rasa bersalah dan rasa terpisah daripada menjadi 'Orang Surau'. Seluruh warga TDBA yang muslim mukmin seharusnya menjadi 'Orang Surau'. Tiada istilah "Orang Surau, Orang Bukan Surau!'. Ingatlah orang yang merasakan dirinya 'bukan orang surau' suatu masa ia akan dibawa ke surau juga, di saat itu bukan lagi untuk sembahyang tetapi untuk disembahyangkan!.    

Jumaat, 8 April 2011

HALAU JIN YANG TAK KELIHATAN TETAPI LUPA JIN-JIN DEPAN MATA

Zaman mutakhir ini di mana pelbagai jenis penyakit ganjil menghantui dan membelenggu kehidupan, membuatkan manusia semakin sibuk, kelamkabut serta berserabut!. Kegagalan ilmu perubatan moden dalam menangani sesetengah penyakit yang melanda rupanya memberi ruang cukup istimewa kepada pelbagai bentuk perubatan altenatif. Tidak dinafikan memang terdapat simpton penyakit tertentu yang tidak terjangkau oleh scanner,tak tertangkap dek imbasan sinar X!, tak tercekup oleh scope dan sebagai seorang muslim, kewujudan makhluk-makhluk halus dari kalangan Jin atau Iblis yang menjadi asbab kepada sesuatu kemudaratan adalah suatu yang wajib diimani. Malah melalui lisannya yang mulia, Junjungan Rasullullah pernah bersabda yang mahfumnya 'Sesungguhnya syaitan itu berjalan di dalam tubuh anak Adam melalui aliran darah' Hadis sahih riwayat Imam Ahmad. Jadi tidak hairanlah para alim ulama, ustaz dan cendikiawan Islam yang berkeupayaan serta menguasai ilmu tertentu berhubung pemulihan gangguan ini kini mejadi tumpuan umat islam.

Pusat rawatan perubatan alternatif tumbuh dimerata pelusuk negara bagai cendawan di musim hujan, Kalau dulu kita hanya mengenali 'Darul Shifa' yang diasaskan oleh Prof.Dr.Harun Din sebagai pusat rawatan alternatif secara Islam. Para ilmuan Islam kini tidak lagi dipandang lekeh secara sebelah mata. Jika dilihat dari sudut postif, ia memang suatu yang baik bagi dunia Islam kerana menyumbang kearah kesejahteraan mental dan fizikal umat Islam khususnya. Bagaimanapun disebalik kebaikan yang kita harapkan ini, terselit juga beberapa elemen yang tidak begitu mengembirakan. Sebagai seorang yang cintakan Islam dan sedikit sebanyak berada dalam gerakan haraki serta mendampingi segelintir para ustaz, ilmuan dan ulama, saya dapat merasakan kelainan ini. Kalau dulu mereka begitu komited, bersungguh-sungguh mendepani pelbagai isu di dalam masyarakat bersama-sama jemaah, setia mempimpin kuliah dan pengajaran serta memberi tarbiyah sebagai naqib di dalam sesi usrah serta sesekali menyuntik semangat juang di dalam pidato umum kini mereka semakin lesu dan kelu kerana kesibukan menghambat Jin jembalang yang tidak kelihatan, tetapi tidak peduli dengan Jin jembalang dalam rupa manusia yang bermaharaja lela di depan mata yang bukan setakat membawa asbab kehancuran seorang manusia, malah keluarga, masyarakat dan negara seluruhnya!

Mutakhir ini bomoh dan pawang pun teruja untuk menukar label sebagai 'Ustaz Pengubat'. Pengalaman saya dengan seorang jiran yang diketahui umum oleh masyarakat setempat kerana memiliki sahsiah diri yang diragui, tidak pernah menjejakkan kaki ke surau, tiba-tiba menjadi perhatian orangramai untuk urusan pengubatan!Dikenali sebagai 'ustaz' oleh individu yang datang daripada luar untuk berubat. Kalau bomoh menjadi ustaz, maka pak-pak ustaz pun dewasa ini ghairah menawarkan diri menjadi pengamal perubatan alternatif!Pantang disua air tawar, maka mengaku boleh menawar! mengaku mampu mengesan kehadiran makhluk halus Jin jembalang di dalam badan, boleh memasung dan mengurung!Kepada segelintir ustaz-ustaz dan ilmuan sebegini, saya cadangkan, cuba perhatikan keperibadian Profesor Doktor Harun Din. Siapa yang tidak kenal beliau dalam halehwal pengubatan alternatif Islam ini? Punyai aneka pengalaman berdepan dengan pelbagai jenis jin jembalang  bajang hantu syaitan. Apakah beliau meminggirkan diri dengan perjuangan?Kalau Prof.Dr Harun Din seorang yang sudah dilabel sebagai taraf 'sifu' dalam dunia pengubatan Islam inipun tidak membiarkan ada jarak antara dirinya dengan perjuangan, mengapa 'ustaz-ustaz prebet' (Maaf kalau istilah ini tidak sesuai) yang suatu ketika dahulu begitu hebat tiba-tiba membiarkan lidah-lidah mereka bagai diikat kerana hanya kononnya menjadi 'PENGUBAT'!