Sebagai satu analogi, saya andaikan anda seorang kontraktor Pembinaan yang mempunyai kewibawaan yang tersendiri. Dengan latarbelakang pendidikan yang menyakinkan, mempunyai keupayaan kewangan yang baik dan stabil bagi menjana modal, anda mampu membina empayer perniagaan yang kukuh, mapan serta mampu berdayasaing dalam pasaran. Walau bagaimanapun anda tidak terlepas dari masalah krisis keyakinan dan terhakisnya kepercayaan pelanggan. Sebagai seorang yang penuh berpegalaman, anda mengembeling seluruh tenaga pegawai dan kakitangan organisasi anda, daripada arkiteknya, jurutera, petugas pentadbiran sehinggalah krew promosi agar bekeja keras dalam usaha merebut kembali kebolehpercayaan pelanggan. Dari rekod masa lampau anda, terbukti anda telah melaksanakan pelbagai projek pembinaan dengan begitu cemerlang dan berkualiti. Baik dari sudut rekabentuk, ketahanan strukturnya hinggalah kepada penawaran harga. Anda berjaya mengharungi sepak terajang alam perniagaan sebagai kontraktor pembinaan dengan jayanya. Itu semua cerita lama, kini ada tetap dilihat gagal meraih minat dan simpati pembeli. Rekod cemerlang masa lalu tidak dipeduli dan terperap dalam lipatan sejarah.
Dalam situasi ini, rakan pesaing anda yang memang anda kenali sejarah jatuh bangunnya dalam dunia perniagaan kontraktor mengisi kekosongan di hati pembeli. Dia dilihat berjaya menambat keyakinan para pembeli walaupun anda dan umum sangat mengetahui kejengkelan kualiti hasil pembinaannya. Promosi melampau serta melangkaui realiti dengan eleman penipuan yang dibaluti eksesori yang menyilau pandangan tenyata telah memenangkannya. katakanlah diakhirnya, kebanyakan projek pembinaan yang dibangunkan oleh rakan pesaing anda itu telah mengalami bencana. Sebahagian besar rumah-rumah kediaman, kedai, sekolah, pasaraya, pusat komuniti masyarakat dan lain-lain rosak disana sini. Pendeknya rumah-rumah dan binaan tersebut tidak dapat menenuhi kehendak dan piawaian bagi kelangsungan kehidupan manusia.
Apa yang memeranjatkan anda, pembeli-pembeli serta pengguna yang terlibat, tiba-tiba mengambil kata sepakat menyalahkan anda dalam masalah tersebut. Anda dituduh tidak mengambil peranan dalam memastikan bencana dan kerosakan itu dapat dihindarkan. Anda didakwa tidak turun padang untuk bersama-sama menangani masalah yang timbul, Anda dipersoalkan dari sudut kebolehgunaan, menafaat ilmu serta kepakaran yang anda miliki. Pendeknya, semua faktor kerosakan, baik struktur bangunan, ketidaksesuaian rekabentuk, kualiti & kuantiti bahan binaan serta harga menjadi ungkitan dan disangkut di bahu anda! Seolah-olah segala masalah dan kehancuran yang mereka lalui adalah berpunca daripada anda!
Mereka mendesak anda mencari formula, pendekatan terbaik bagi memperbaiki segala kerosakan tersebut, tetapi dengan menggunakan bahan-bahan, struktur dan dengan berpandukan pelan, rekabentuk yang sedia ada. Anda tidak dibenarkan melaksanakan pembangunan serta pembaikan semula tersebut berdasarkan ilmu dan pengetahuan anda!. Anda juga samasekali tidak diberi kesempatan memilih bahan-bahan bermutu bagi urusan pemulihan. Sekarang saya bertanya, adakah anda merasakan anda telah dilayan dan diperlakukan secara adil?. Wajarkah anda dipersalahkan dan didesak mencari jalan keluar kepada permasalahan yang bukan berpunca dari anda? Kerosakan yang berlaku bukan natijah dari sistem, prosedur, peralatan, bahan dan peraturan yang anda amalkan.. Tidak cukup dengan itu, anda dipaksa bekerja keras, disaran 'turun padang' menyelesaikan masalah dengan berpandukan prosudur, peraturan-peraturan lama yang jelas tidak membantu memberikan kekuatan kepada struktur binaan yang dibangunkan. Anda tidak diberi pilihan untuk melaksanakan peraturan, prosudur yang pernah melonjakan agensi anda dengan sewajarnya. Tanya diri anda, dalam senario seumpama ini apa yang mampu anda lakukan?
Kalau anda ingin tahu, begitulah kedudukan islam di mata manusia pada akhir zaman ini. Anda dan organisasi anda umpama Islam dan Pendokongnya yang menjadi mangsa dan dikambing hitamkan bila berlaku kehancuran serta kemusnahan nilai, akhlak dan peradaban hidup insan. Islam dipersalahkan dan diminta menyelesaikan segala kebobrokan yang lahir BUKAN hasil dari sistem dan peraturan yang ditetapkan oleh Islam. Saingan anda itu adalah lambang bagi sistem kehidupan, isme, idealogi baru yang di anuti oleh umat manusia dengan menolak Islam yang pernah membina kecemerlangan ketamadunan hidup manusia suatu ketika dahulu. Pengguna, pembeli adalah analogi mereka yang tersepit dicelahan kehancuran dan kegagalan isme-isme ciptaan manusia itu merintih, mengadu, mencari-cari jalan penyelesaian terbaik. Akhirnya Islam dilihat paling berpotensi sebagai penyelamat namun amat malang pula bila sistem kehidupan Islam yang menyeluruh yang ditawarkan untuk diterap atau dijadikan asas kepada segala urusan kehidupan tidak cenderung untuk dipraktikan.
Bukan bermakna Islam tidak boleh atau tidak sudi menjadi mekanisme penyelamat. Undang-undang dan peraturan kehidupannya yang lengkap serta mencangkupi segenap urusan kehidupan manusia terkandung di dalam Kitab Suci AlQuran, Sunnah Baginda Rasullullah telah terbukti berjaya. Sejarah telah mencatatkan bagaimana Rasulullah, para sahabat, pengikut-pengikut sahabat serta pengikut kepada pengikut sahabat melangkaui hingga ke era pemerintahan Kerajaan Islam Uthmaniah telah membawa Islam melebarkan naungan keamanannya hingga melebihi separuh planet dunia ini. Kita mungkin boleh mengatakan 'berikan peluang kepada Islam melaksanakan kerja-kerja penyelesaian dan baikpulih ini dengan sistemnya sendiri atau kamu boleh memilih untuk meneruskan kehancuran ini bersama-sama jalan pilihanmu tetapi jangan menyalahkan kami kerana kehancuran itu.' Wallah hu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan