Melihat kepada trend, senario dan pelbagai cerita-ceriti yang melingkari kehidupan golongan remaja hari ini, ramai ibubapa menggeleng-gelengkan kepala, menangis tak bernada, guru-guru sekolah bagaikan sudah kehilangan idea dan kata-kata. Ratusan malah ribuan kertas kerja berhubung permasalahan remaja telah diseminarkan, didialogkan dan diforamkan oleh para cerdikpandai, namun natijah dari semua genre itu tidak 'dikerjakan'. Segala idea, cadangan dan aneka formula hasil 'pecah kepala' para Doktor, cendikiawan dan profesor hanya tertinggal di dalam lembaran kertas kerja yang gagal dikerjakan. Dimanakah silapnya?
Penulis tidak bermaksud menunding jari kepada mana-mana pihak. Catatan ini tidak mengajak pembaca mencari 'salah siapa',namun realiti yang berada di depan kita menyaksikan golongan ibubapa dan pendidik sering menjadi sasaran berhubung permasalahan ini. Saya berpeluang menyertai puluhan sesi dialog dan pembentangan kertaskerja dan kesimpulannya ibubapalah yang perlu mendepani masalah ini dari sudut kepertanggungjawabannya! Pendeknya, ibubapalah segala-galanya.
Saya pula melihat berlaku ketidakadilan bila melihat punca permasalahan diletakkan secara total di pundak ibubapa. Ya! kita bersetuju golongan ibubapalah yang perlu memainkan peranan utama dalam menentukan baik buruk kehidupan seseorang anak sebagaimana sabdaan Junjungan Baginda Rasullullah SAW: "Setiap anak dilahirkan secara fitrah (suci), ibubapalah yang mencorakkannya samada menjadi Yahudi, Nasroni atau Majusi". Disini tarbiyah, pendidikan dan siri contoh tauladan sahsiah yang mulia perlu dilterapkan oleh ibubapa dalam persekitaran keluarga masing-masing. Kegagalan dalam misi penting disektor rumahtangga ini menjadi pemangkin kepada berlakunya keruntuhan akhlak anak-anak. Saya tidak berminat bermain dengan angka, mengulang-ulang soal peratusan angka anak-anak kita yang terjebak dalam pelbagai masalah sosial. Bagi saya, jangankan seratus atau seribu, seorang sahajapun anak kita yang terjerumus, sudah cukup untuk mencelakakan umat ini.. Saya menyatakan ia tidak adil bagi kalangan ibubapa yang telah bertungkus lumus mentarbiyyah dan mendidik anak-anak mereka secukupnya, namun terpaksa berdepan jua dengan masalah ini. Apakah tidak ada pihak lain yang melihat peranan persekitaran, peraturan sosial, penguatkuasaan undang-undang juga patut memainkan peranannya secara bersepadu dalam menangani isu ini.
Adalah amat malang bagi anak-anak yang telah ditarbiyah dan mendapat pendidikan agama secukupnya daripada ibubapa akhirnya turut menjadi mangsa akibat suasana tidak sihat persekitaran masyarakatnya, kampungnya, daerahnya, negerinya malah negaranya!.Mungkin kita menuduh mereka ini tiada jatidiri dan rapuh ketahanan rohaninya. Kita boleh membuat pelbagai andaian, namun cuba fikirkan akan seekor kucing bijak yang telah dilatih untuk tidak memakan ikan yang terhidang, namun sang kucing ini saban hari terpaksa juga melalui lorong dan simpang yang menghidangkan pelbagai specis ikan. Berapa lama sang kucing bijak ini mampu bertahan melihat ikan yang terhidang dalam rutin kitaran kehidupannya. Mengapa pemilik dan penguasa lorong-lorong laluan sang kucing itu membiarkan ikan-ikan terhidang tanpa jagaan dan kawalan saban hari. Mengapa peraturan-peraturan tertentu bagi mengawal pelbagai aktiviti-aktivit sosial sang kucing dan ikan-ikan tidak dikuatkuasakan. Saya menggunakan analogi ini untuk mengambarkan bahawa faktor atau elemen undang-undang yang baik (berkesan mengikut syara'), penguatkuasaan, tahap kepedulian (cakna / prihatin) pihak penguasa tidak boleh dikesampingkan Dimanakah peranan peguasa setempat baik di dalam komuniti masyarakat kampong, negeri dan yang terpentingnya negara.?Kita melihat sejujurnya bahawa peranan pemerintah jarang-jarang, malah tidak berani dihighlightkan oleh masyarakat dalam membicarakan isu ini. Kalau pembaca sering mengikuti sesi pembentangan kertas kerja seperti yang saya sebutkan di atas, adakah anda pernah mendengar catatan dalam kertaskerja;"kerajaan perlu melaksanakan undang-undang islam bagi mengembalikan kehidupan harmoni masyarakat!"Ada? Yang kita dengar:"ibubapa, ibubapa, dan ibubapa"!Kita pula lebih rela bertuankan mereka yang tidak bersedia menegakkan peraturan, undang-undang dan hukum-hakam Allah serta dalam masa yang sama menentang golongan yang bercita-cita melaksanakannya. Membiarkan penguasa-penguasa jahat ini bermaharalela merangka, meminda peraturan dan undang-undang yang sesuai dengan akal fikiran mereka di Parlimen. Di mana pula peranan kita dari sudut ini. Untuk menjawabnya saya suka anda semua merujuk kembali mafhum hadis yang saya catatkan di atas. 'Semua anak dilahirkan didunia ini suci (Fitrah) dan ibubapalah yang mencorakkannya'.Tanya hati ketika membuat pilihan dan persoal tangan anda ketika membuat pangkahan dalam pelihanraya! itulah jawapannya.
Marilah kita sama-sama merenung peranan kita dalam keluarga, masayarakat dan negara. Apakah ada sumbangan kita biarpun sebesar zarah? Kita mungkin telah berusaha memperelokan akhlak anak-anak kita dengan tarbiyyah sewajarnya. Saya menghantar keempat-empat anak saya kesekolah yang berorentasikan pendidikan agama disamping tarbiyah secara non-formal dalam keluarga. Tiga daripadanya di institusi pendidikan swasta yang menelan pembiyaan bulanan mencecah seribu sebulan, walaupun kehidupan saya sekadar 'cukup makan' sahaja. Saya tidak bermaksud untuk berbangga-bangga, tetapi untuk menyatakan perlunya kepada usaha berganda dalam urusan tarbiyah .Saya tidak mengharapkan lebih, sekadar mengimpikan anak saya menjadi seorang 'insan' dalam ertikata sebenarnya. Itu sahaja!Sekiranya dengan cara inipun mereka masih tidak menjadi 'manusia' saya kira, saya sudah mempunyai hujah di akhirat nanti.
Di dalam komuniti masyarakat setempat, marilah kita sama-sama meninjau halehwal kehiduan seharian anak-anak remaja kita. Menyantuni geraklaku mereka dalam mewarnai kecenderungan yang pelbagai aneka di zaman ciber dan langit terbuka ini. Anak-anak saudara, jiran tetangga serta sahabat handai kita adalah anak-anak kita juga dalam usaha pentarbiyahan. Bimbinglah, tegurlah dan ajarlah mereka sesuai dengan kemampuan serta kebolehan yang kita miliki. Curahkanlah sedikit pengorbanan semampu kita. Sebagai contoh, apalah sangat dengan cerita 'bola yang disepak oleh budak-budak terkena pagar rumah kita'!.Katalah, pecah sebiji lampu atau pasu bunga kita bernilai sepuloh dua puloh ringgit. Katakanlah pecah atau rosak peralatan rumah kita natijah dari 'budak-budak bermain' berlaku setiap bulan! (walaupun tidak mungkin berlaku sebegitu) Apakah itu nilai keruntuhan akhlak anak-anak muda yang boleh kita bayar sekiranya hak mereka untuk bermain dinafikan.Apakah itu harga yang hendak kita tebus bagi anak-anak muda kita yang memilih aktiviti tidak bermoral sebagai altenatif selain bermain bola. Berfikirlah secara waras dan bijaksana. Marilah kita tinggalkan generasi remaja kita ini dalam keadaan mereka menyanyangi dan mengingati kita seadanya. Janganlah sampai mereka tergamak kencingkan kuburkan kita lantaran kegagalan kita mentarbiyah mereka atau jalan kehidupan terlalu mementingkan diri yang telah kita pilih. Wallah hu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan