Catatan Popular

Jumaat, 6 Mei 2011

MEMBICARAKAN SOAL POLITIK KEPARTIAN DI DALAM MASJID- MENGAPA TIDAK BOLEH?

Saya pernah ditegur oleh seorang sahabat kerana bertanyakan soalan yang diklasifikasi oleh beliau sebagai soalan berbau 'politik kepartian' selepas selesai satu majlis ilmu di surau taman kami. Hujah beliau, politik adalah suatu yang tidak terpisah daripada Islam, ia suatu juzu' daripada Islam itu sendiri tetapi isu yang saya ketengahkan itu lebih kepada politik kepartian dan tidak sesuai di masjid atau surau!.Ia seperti sengaja mengundang bahang emosi dan menjemput kelahi! kata beliau lagi. Terasa agak jangal dalam benak terhadap pendirian sahabat saya itu, seseorang yang telah menghabiskan sebahagian besar usia kehidupannya dengan jemaah Islam, menginfakkan begitu banyak tenaga, idea, masa malah wangringgit untuk perjuangan Islam tetapi masih keliru, kabur dan gagal melihat sesuatu isu secara tepat mengikut kehendak syara'.

Sebagai hujah balas, saya tanya beliau, apakah ada suatu tindakan, gerakerja atau amalan yang kita buat di atas dunia ini dikecualikan dari hukum. Maksud saya cuba beritahu saya kerjabuat kita yang tiada kaitan hukum dosa pahala, sah batal, halal, haram, harus, makruh (tanpa mengambil kira orang gila dan kanak-kanak)?.Dia bersetuju dengan saya bahawa semua gerakerja manusia bermula dia bangun tidur diawal pagi sehinggalah kembali ke kamar untuk tidur semula pada waktu malamnya, satupun tidak terlepas dari ikatan hukum Syara'.Buatlah apapun, dari sekecil-kecil perkara seperti mencungkil gigi, mengeliat, berkumur-kumur contohnya sehinggalah kesebesar-besar perkara seperti memerintah dan menegakkan negara, disana ada hukum syara yang mengikatnya.

Sebagai seorang muslim adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengetahui hukum-hakam setiap pekerjaan yang sedang, telah dan akan saya lakukan. Lebih-lebih lagi sebagai seorang aktivis politik sudah sewajarnya saya mengambil tahu secara serius wadah dan platform perjuangan saya dari sudut hukum syaranya. Kalau saya menyertai UMNO apa hukumnya atau menyertai PAS apa pula kata syara? Saya hanya mahu melihat dan memutuskannya dari kacamata syara, bukan melalui percaturan emosi, taqlik membutatuli atau gaulan pelbagai sentimen jauh sekali dengan bersandarkan dalil isma-isma yang menyesatkan. Apakah tiada nas atau dalil Alquran serta Hadis Rasul berhubung isu ini? Mustahil! Jadi apa masalahnya untuk kita berlapang dada, menerima dengan akal dan jiwa terbuka apa sahaja yang diputuskan syara terhadap kita. Cubalah sesekali kita keluar dari tempurung ketaksuban kita kepada pandangan serta fahaman sendiri. Jangan jadikan sentimen sekeras simen.

Dimana lagi boleh saya gali khazanah ilmu untuk merungkai setiap permasalahan saya dihujung-hujung usia ini kalau bukan di surau masjid?. Apakah suatu kesalahan mencari jawapan bersumberkan hukum syara di situ? Hujah bahawa isu politik itu sensitif seakan menjadi wirid yang wajib diratib setiap hari oleh umat hari ini!Katakanlah kita setuju ia sensitif! Mengapa?.Mengapa harus sensitif? Jawapannya mudah. Tidak lain tidak bukan kerana sebahagian daripada kita enggan dan takut menerima kebenaran. Lebih-lebih lagi jika sesuatu yang tidak bertepatan syara atau ditolak oleh syara itu suatu yang amat kita sukai, sesuatu yang sesuai dengan nafsu keinginan sendiri dan lebih parah jika sesuatu yang ditolak oleh syara itu adalah menjadi anutan pemimpin atau organisasi yang dipimpin oleh pemerintah. Jadi tidak hairanlah jika Kitab Mustika Hadis (Terbitan Jabatan Perdana Menteri dan kata-kata aluannya ditandatangani sendiri oleh Perdana Menteri) yang sebahagian isi kandungannya membahaskan perkara-perkara yang membatalkan syahadah, pernah suatu ketika dahulu dilarang dikuliahkan di sebuah masjid utama di Ibu Negara!. Lebih dahsyat lagi pengarangnya, AlMarhum Syeikh Abdullah Mohammad Basmih dikatakan telah diminta agar mengisytiharkan kitab karangannya itu sebagai terbatal!. Seandainya cakap-cakap sebegitu benar ia adalah suatu yang amat malang. Bagaimanapun, Alhamdulillah! beliau tetap istiqamah mempertahankan karangannya itu sehinggalah beliau dijemput kembali oleh Allah. Alfatihah untuk Almarhum.

Kesimpulannya marilah kita melihat, memandang, meneliti APA SAHAJA kerja buat yang telah sedang dan bakal kita perlakukan dalam menjalani kehidupan ini dari kacamata syara. Belajarlah menerima kebenaran yang ada didepan kita secara rasional, lapangdada, dan penuh redha. Apa sahaja yang datang daripada Allah dan Rasulnya, terimalah, amallah dan apa yang dilarangnya tinggalkanlah. Tiada istilah Sensitif bagi setiap perkara yang dilarang oleh syara' walau sekuat mana, sebesar manapun kecintaan kita kepada perkara itu, Walaupun ia mungkin bernama UMNO atau BN!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan