Setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, tanpa mengira tahap apapun peperiksaan tersebut, samada UPSR, PMR, SPM ataupun STPM ibubapa mula keluhkesah, berdebar-debar dan tidak kurang yang mula tenggelam punca memikirkan arah hala tuju kehidupan masa depan anak-anak. Pihak sekolah pula mula mencongak graf pencapaian murid-muridnya, mengacu-banding dengan pencapaian tahun-tahun sebelumnya atau dengan sekolah-sekolah lain. Adalah menjadi impian semua pengetua dan pihak pentadbiran sekolah agar nama sekolah mereka terpampang didada akhbar, kecemerlangan yang dicapai menjadi bahan liputan pelbagai saluran media dan yang lebih penting KPI yang disasar melonjakkan nama mereka, untung-untung dijeling pihak kementerian untuk dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat! Di satu pihak yang lain, para pelajar tidak kurang juga diselubungi pelbagai aneka emosi.
Tiada yang janggal bagi sekolah yang berorentasi pendidikan sekular mengejar kecemerlangan pelajarnya hanya berdasarkan kejayaan didalam peperiksaan, mengimpikan angka 100% sepanjang masa , berwiridkan A,A dan A, tiada A melainkan A!.Tidak hairanlah sekiranya diberitakan ada sekolah tertentu yang sanggup menghalang pelajar yang dilihat tidak berpotensi untuk lulus daripada menduduki peperiksaan semata-mata untuk menjaga prestij sekolah, semata-mata untuk mempertahankan persennya!.Pelajar persis robot yang dipaksa menelan segala, teori, formula, menghafal fakta, kaedah dan angka serta dimuntahkan kembali di kepingan-kepingan kertas jawapan. Namun apa yang mendukacitakan kita terdapat juga sekolah yang dilahirkan oleh majlis dan jabatan agama islam pun menjadikan angka ini sebagai nawaitu utama visi & misi mereka.
Tanyalah ibubapa di Bandaraya Kuala Lumpur yang menyekolahkan anak-anak mereka disekolah rendah agama (petang) bila setiap kali keputusan peperiksaan UPSRA (Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama-Dibawah seliaan Majlis Agama Islam) dikeluarkan. Ibubapa yang cenderung dengan pendidikan agama tentu berbangga dan sejukhati sekiranya anak mereka memperolehi kecemerlangan dalam ujian ini, terutama yang memperolehi 7 atau 8A dalam mata pelajaran senawi ini. Dan sudah tentu bercita-cita agar anak-anak mereka dapat meneruskan pengajian agama di peringkat menengah di sekolah agama yang terbaik. Apakah tercapai cita-cita murni ibubapa dan anak-anak ini? Ya, sekiranya anak-anak mereka turut memperolehi kecemerlangan yang sama dalam Peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah-dibawah seliaan Kementerian Pelajaran) Jika anak-anak ini sekadar memperolehi 3A atau kurang, ibubapa boleh melupakan impian mereka, gulung elok-elok Sijil UPSRA ataupun UPSR dan simpan sajalah. Jangan kata hendak memasukkan anak ke SEKOLAH agama, untuk mendapat tempat di dalam KELAS ALIRAN AGAMA di sekolah-sekolah biasa pun belum tentu diterima. Memasukan anak-anak yang cemerlang dalam UPSRA ke sekolah-sekolah agama di bawah Kementerian Pendidikan hanya sekadar impian kosong ibubapa , adalah menjadi dasar kementerian, mereka hanya melihat kelulusan atau pencapaian akademik melalui sistem peperiksaan yang mereka kendalikan sahaja. Kecemerlangan dalam UPSRA tidak berguna bagi mereka sekiranya pencapaian UPSR tidak setinggi mana. Pendeknya mereka mendahulukan anak-anak 'kandung ' mereka! Anak-anak kandung Majlis / Jabatan agama Islam, mereka perlu menunggu dan menunggu!.Jadi sebagai jalan keluar, bagi ibubapa yang inginkan anak-anak mereka yang cemerlang di bidang agama ini meneruskan kecemerlangan di peringkat menengah, carilah sekolah-sekolah agama persendirian yang tumbuh bagai cendawan di musim hujan terutama disekitar lembah kelang.
Bagaimana dengan sekolah menengah agama seliaan Majlis / Jabatan agama? Tidak adakah sekolah menengah agama?Ada! tetapi amat terhad di Bandaraya Kuala Lumpur dan terdapat beberapa buah di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor. Apakah Jabatan/ Majlis Islam tidak memperdulikan anak-anak kelahiran mereka yang cemerlang di dalam Peperiksaan UPSRA. Sukar untuk menyatakan tahap kepedulian mereka terhadap pelajar-pelajar ini, tetapi dari pengalaman ibubapa yang menghadapi masalah ini, ternyata mereka juga menerima layanan yang sama sepertimana yang diterima daripada Kementerian. Prosedur dan syarat kemasukan ke sekolah Menengah seliaan Majlis/ Jabatan agama ini juga sama. Kecemerlangan UPSRA dipandang umpama kaca! UPSR ditatang umpama permata!. Amat mendukacitakan bila organisasi yang mendukung misi agama mempunyai nilaitanggap sedemikan terhadap pendidikan agama.
Bukankah kefahaman dalam ilmu agama adalah suatu anugerah istimewa daripada Allah berbanding ilmu-ilmu lain. Bukankah pernah disabdakan oleh Junjungan kita bahawa Sekiranya Allah SWA menyayangi seseorang hambanya, diberikan fakih (faham) dalam halehwal agama. Jelaslah bahawa anak-anak yang cemerlang di bidang agama adalah anak-anak yang sangat Istimewa disisi Allah. Soalnya mengapa anak-anak ini dipingirkan oleh "ibu kandung" mereka sendiri.? Sudahlah sebelum ini mereka disisihkan oleh Kementerian. Ianya berpunca dari sifat mereka yang menawaitukan angka dalam misi dan visi perjuangan mereka. Mereka terlalu bimbang anak-anak / pelajar cemerlang subjek agama (UPSRA) tetapi tidak begitu cemerlang dalam subjek akademik (UPSR) boleh menjejaskan graf kecemerlangan peperiksaan sekolah. Hati sebak, kecewa dan terselit jua rasa marah ketika mendengar pengakuan seorang pengetua salah sebuah sekolah rendah agama di bandaraya Kuala Lumpur di dalam suatu majlis penyampaian anugerah kecemerlangan peperiksaan sekolahnya bahawa, 'cukuplah segala ilmu yang diperolehi disekolah tersebut digunakan untuk amalan dalam kehidupan sebab, kecemerlangan yang mereka perolehi ini belum menjamin tempat mereka di sekolah-sekolah menengah agama, baik di sekolah menengah agama Kementerian Pendidikan maupun sekolah menengah agama di bawah seliaan Majlis / Jabatan agama'!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan