Catatan Popular

Khamis, 5 Mei 2011

KONSEP MAJLIS BERKAMPUNG DI TAMAN DESA BAIDURI AWAM, CHERAS

Istilah 'Majlis Berkampung' bukan sahaja agak asing kepada generasi alaf baru kita hari ini, malah mungkin segelintir generasi pertengahanpun tidak begitu arif tentangnya. Bagi kalangan masyarakat melayu terutama di negeri-negeri selatan Semenanjung Malaysia dan beberapa penempatan etnik melayu di beberapa negeri lain, ia suatu yang lumrah. Majlis berkampung adalah antara cebisan budaya yang mewarnai kehidupan mereka terutama apabila anggota masyarakat setempat bakal mengadakan majlis kenduri kendara kerana meraikan perkahwinan dan keramaian yang tertentu.

Ia merupakan suatu majlis permuafakatan, mesyuarat ataupun perbincangan secara tidak formal bagi memastikan segala urusan majlis yang bakal diadakan berjalan dengan jayanya. Pembahagian tugas-tugas dibuat sesama mereka dengan dipantau oleh seorang ketua yang biasanya terdiri daripada Ketua Kampung, Penghulu, Ketua Adat dan sebagainya. Apa yang menariknya, tuan rumah atau anggota masyarakat yang 'empunya' majlis tidak lagi perlu bertungkuslumus turun padang, kerana segalanya dilaksanakan oleh anggota masyarakat seperti yang diputuskan dalam pemuafakatan Majlis Berkampung tersebut.

Warga TDBA agak bertuah kerana nilai murni budaya pemuafakatan ini masih dipertahankan di sini ketika hampir kebanyakan komuniti masyarakat melayu baik di desa , apatahlagi di kota-kota besar pada hari ini membiarkan warisan ini berkubur tanpa nisan. Di Taman Desa Baiduri (Awam), usaha mengekalkan nilai murni ini dipelopori oleh jemaah Surau AlMukhlisin. Sebahagian besar ahli jemaah telah mengambil kata sepakat menggunakan konsep dan pendekatan ini dalam melaksanakan pelbagai majlis keraian di kalangan jemaah yang berminat. Walau bagaimanapun komitmen, pengelibatan dan kesediaan untuk bekerjasama seseorang jemaah terhadap saudara jemaah lain yang telah mengadakan majlis seumpamanya sebelum itu juga diambilkira. Sehingga tarikh rencana ini ditulis, Alhamdulillah, ramai dikalangan jemaah surau yang telah memperolehi menafaat dari konsep 'berkampung' ini.

Konsep ' berkampung' ini memberikan natijah dan kesan positif yang tidak sedikit kepada mereka yang telah melaluinya, baik sebagai sebagai empunya kerja atau dikerah bekerja .  Antaranya ia menjadi titiktolak ke arah lahirnya semangat musyawarah, bertolakansur dan mengeratkan ikatan silatulrahim di antara anggota masyarakat. Dari sudut ekonomi, ternyata ia mampu mengurangkan kos perbelanjaan yang harus dipikul oleh tuan rumah. Justeru itu, adalah menjadi harapan para jemaah Surau AlMukhlisin khususnya dan seluruh penduduk TDBA umumnya agak konsep ini diperluaskan. Memandangkan Surau AlMukhlisin telah sekian lama menjadi 'pusat' cetusan idea dan markaz pengeraknya, maka sudah barang tentu warga TDBA yang berminat harus 'berjinak-jinak' menjejakkan kaki di rumah Allah ini. Buangkanlah rasa malu alah, rasa bersalah dan rasa terpisah daripada menjadi 'Orang Surau'. Seluruh warga TDBA yang muslim mukmin seharusnya menjadi 'Orang Surau'. Tiada istilah "Orang Surau, Orang Bukan Surau!'. Ingatlah orang yang merasakan dirinya 'bukan orang surau' suatu masa ia akan dibawa ke surau juga, di saat itu bukan lagi untuk sembahyang tetapi untuk disembahyangkan!.    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan