Catatan Popular

Khamis, 23 Jun 2011

KETIDAKADILAN TERHADAP ISLAM DAN PENDOKONG-PENDOKONGNYA

Sebagai satu analogi, saya andaikan anda seorang kontraktor Pembinaan yang mempunyai kewibawaan yang tersendiri. Dengan latarbelakang pendidikan yang menyakinkan, mempunyai keupayaan kewangan yang baik dan stabil bagi menjana modal, anda mampu membina empayer perniagaan yang kukuh, mapan serta mampu berdayasaing dalam pasaran. Walau bagaimanapun anda tidak terlepas dari masalah krisis keyakinan dan terhakisnya kepercayaan pelanggan. Sebagai seorang yang penuh berpegalaman, anda mengembeling seluruh tenaga pegawai dan kakitangan organisasi anda, daripada arkiteknya, jurutera, petugas pentadbiran sehinggalah krew promosi agar bekeja keras dalam usaha merebut kembali kebolehpercayaan pelanggan. Dari rekod masa lampau anda, terbukti anda telah melaksanakan pelbagai projek pembinaan dengan begitu cemerlang dan berkualiti. Baik dari sudut rekabentuk, ketahanan strukturnya hinggalah kepada penawaran harga. Anda berjaya mengharungi sepak terajang alam perniagaan sebagai kontraktor pembinaan dengan jayanya. Itu semua cerita lama, kini ada tetap dilihat gagal meraih minat dan simpati pembeli. Rekod cemerlang masa lalu tidak dipeduli dan terperap dalam lipatan sejarah.

Dalam situasi ini, rakan pesaing anda yang memang anda kenali sejarah jatuh bangunnya dalam dunia perniagaan kontraktor mengisi kekosongan di hati pembeli. Dia dilihat berjaya menambat keyakinan para pembeli walaupun anda dan umum sangat mengetahui kejengkelan kualiti hasil pembinaannya. Promosi melampau serta melangkaui realiti dengan eleman penipuan yang dibaluti eksesori yang menyilau pandangan tenyata telah memenangkannya. katakanlah diakhirnya, kebanyakan projek pembinaan yang dibangunkan oleh rakan pesaing anda itu telah mengalami bencana. Sebahagian besar rumah-rumah kediaman, kedai, sekolah, pasaraya, pusat komuniti masyarakat dan lain-lain rosak disana sini. Pendeknya rumah-rumah dan binaan tersebut tidak dapat menenuhi kehendak dan piawaian bagi kelangsungan  kehidupan manusia.

Apa yang memeranjatkan anda, pembeli-pembeli serta pengguna yang terlibat, tiba-tiba mengambil kata sepakat menyalahkan anda dalam masalah tersebut. Anda dituduh tidak mengambil peranan dalam memastikan bencana dan kerosakan itu dapat dihindarkan. Anda didakwa tidak turun padang untuk bersama-sama menangani masalah yang timbul, Anda dipersoalkan dari sudut kebolehgunaan, menafaat ilmu  serta kepakaran yang anda miliki. Pendeknya, semua faktor kerosakan, baik struktur bangunan, ketidaksesuaian rekabentuk, kualiti & kuantiti bahan binaan serta harga menjadi ungkitan dan disangkut di bahu anda! Seolah-olah segala masalah dan kehancuran yang mereka lalui adalah berpunca daripada anda!

Mereka mendesak anda mencari formula, pendekatan terbaik bagi memperbaiki segala kerosakan tersebut, tetapi dengan menggunakan bahan-bahan, struktur dan dengan berpandukan pelan, rekabentuk yang sedia ada. Anda tidak dibenarkan melaksanakan pembangunan serta pembaikan semula tersebut berdasarkan ilmu dan pengetahuan anda!. Anda juga samasekali tidak diberi kesempatan memilih bahan-bahan bermutu bagi urusan pemulihan. Sekarang saya bertanya, adakah anda merasakan anda telah dilayan dan diperlakukan secara adil?. Wajarkah anda dipersalahkan dan didesak mencari jalan keluar kepada permasalahan yang bukan berpunca dari anda? Kerosakan yang berlaku bukan natijah dari sistem, prosedur, peralatan, bahan dan peraturan yang anda amalkan.. Tidak cukup dengan itu, anda dipaksa bekerja keras, disaran 'turun padang' menyelesaikan masalah dengan berpandukan prosudur, peraturan-peraturan lama yang jelas tidak membantu memberikan kekuatan kepada struktur binaan yang dibangunkan. Anda tidak diberi pilihan untuk melaksanakan peraturan, prosudur yang pernah melonjakan agensi anda dengan sewajarnya. Tanya diri anda, dalam  senario seumpama ini apa yang mampu anda lakukan? 
Kalau anda ingin tahu, begitulah kedudukan islam di mata manusia pada akhir zaman ini. Anda dan organisasi anda umpama Islam dan Pendokongnya yang menjadi mangsa dan dikambing hitamkan bila berlaku kehancuran serta kemusnahan nilai, akhlak dan peradaban hidup insan. Islam dipersalahkan dan diminta menyelesaikan segala kebobrokan yang lahir BUKAN hasil dari sistem dan peraturan yang ditetapkan oleh Islam. Saingan anda itu adalah lambang bagi sistem kehidupan, isme, idealogi baru yang di anuti oleh umat manusia dengan menolak Islam yang pernah membina kecemerlangan ketamadunan hidup manusia suatu ketika dahulu. Pengguna, pembeli adalah analogi mereka yang tersepit dicelahan kehancuran dan kegagalan isme-isme ciptaan manusia itu merintih, mengadu, mencari-cari jalan penyelesaian terbaik. Akhirnya Islam dilihat paling berpotensi sebagai penyelamat namun amat malang pula bila sistem kehidupan Islam yang menyeluruh yang ditawarkan untuk diterap atau dijadikan asas kepada segala urusan kehidupan tidak cenderung untuk dipraktikan.

Bukan bermakna Islam tidak boleh atau tidak sudi menjadi mekanisme penyelamat. Undang-undang dan peraturan kehidupannya yang lengkap serta mencangkupi segenap urusan kehidupan manusia terkandung di dalam Kitab Suci AlQuran, Sunnah Baginda Rasullullah telah terbukti  berjaya. Sejarah telah mencatatkan bagaimana Rasulullah, para sahabat, pengikut-pengikut sahabat serta pengikut kepada pengikut sahabat melangkaui hingga ke era pemerintahan Kerajaan Islam Uthmaniah telah membawa Islam melebarkan naungan keamanannya hingga melebihi separuh planet dunia ini. Kita mungkin boleh mengatakan 'berikan peluang kepada Islam melaksanakan kerja-kerja penyelesaian dan baikpulih ini dengan sistemnya sendiri atau kamu boleh memilih untuk meneruskan kehancuran ini bersama-sama jalan pilihanmu tetapi jangan menyalahkan kami kerana kehancuran itu.' Wallah hu a'lam.

Ahad, 5 Jun 2011

TERPEDAYA DENGAN ANGKA

Setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, tanpa mengira tahap apapun peperiksaan tersebut, samada UPSR, PMR, SPM ataupun STPM ibubapa mula keluhkesah, berdebar-debar dan tidak kurang yang mula tenggelam punca memikirkan arah hala tuju kehidupan masa depan anak-anak. Pihak sekolah pula mula mencongak graf pencapaian murid-muridnya, mengacu-banding dengan pencapaian tahun-tahun sebelumnya  atau dengan sekolah-sekolah lain. Adalah menjadi impian semua pengetua dan pihak pentadbiran sekolah agar nama sekolah mereka terpampang didada akhbar, kecemerlangan yang dicapai menjadi bahan liputan pelbagai saluran media  dan yang lebih penting KPI yang disasar melonjakkan nama mereka, untung-untung dijeling pihak kementerian untuk dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat! Di satu pihak yang lain, para pelajar tidak kurang juga diselubungi pelbagai aneka emosi.

Tiada yang janggal bagi sekolah yang berorentasi pendidikan sekular mengejar kecemerlangan pelajarnya hanya berdasarkan kejayaan didalam peperiksaan, mengimpikan angka 100% sepanjang masa , berwiridkan A,A dan A, tiada A melainkan A!.Tidak hairanlah sekiranya diberitakan ada sekolah tertentu yang sanggup menghalang pelajar yang dilihat tidak berpotensi untuk lulus daripada menduduki peperiksaan semata-mata untuk menjaga prestij sekolah, semata-mata untuk mempertahankan persennya!.Pelajar persis robot yang dipaksa menelan segala, teori, formula, menghafal fakta, kaedah dan angka serta dimuntahkan kembali di kepingan-kepingan kertas jawapan. Namun apa yang mendukacitakan kita terdapat juga sekolah yang dilahirkan oleh majlis dan jabatan agama islam pun menjadikan angka ini sebagai nawaitu utama visi & misi mereka.

Tanyalah ibubapa di Bandaraya Kuala Lumpur yang menyekolahkan anak-anak mereka disekolah rendah agama (petang) bila setiap kali keputusan peperiksaan UPSRA (Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama-Dibawah seliaan Majlis Agama Islam) dikeluarkan. Ibubapa yang cenderung dengan pendidikan agama tentu berbangga dan sejukhati sekiranya anak mereka memperolehi kecemerlangan dalam ujian ini, terutama yang memperolehi 7 atau  8A dalam mata pelajaran senawi ini. Dan sudah tentu bercita-cita agar anak-anak mereka dapat meneruskan pengajian agama di peringkat menengah di sekolah agama yang terbaik. Apakah tercapai cita-cita murni ibubapa dan anak-anak ini? Ya, sekiranya anak-anak mereka turut memperolehi kecemerlangan yang sama dalam Peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah-dibawah seliaan Kementerian Pelajaran) Jika anak-anak ini sekadar memperolehi 3A atau kurang, ibubapa boleh melupakan impian mereka, gulung elok-elok Sijil UPSRA ataupun UPSR dan simpan sajalah. Jangan kata hendak memasukkan anak ke SEKOLAH agama, untuk mendapat tempat di dalam KELAS ALIRAN AGAMA di sekolah-sekolah biasa pun belum tentu diterima. Memasukan anak-anak yang cemerlang dalam UPSRA ke sekolah-sekolah agama di bawah Kementerian Pendidikan hanya sekadar impian kosong ibubapa , adalah menjadi dasar kementerian, mereka hanya melihat kelulusan atau pencapaian akademik melalui sistem peperiksaan yang mereka kendalikan sahaja. Kecemerlangan dalam UPSRA tidak berguna bagi mereka sekiranya pencapaian UPSR tidak setinggi  mana. Pendeknya mereka mendahulukan anak-anak 'kandung ' mereka! Anak-anak kandung Majlis / Jabatan agama Islam, mereka perlu menunggu dan menunggu!.Jadi sebagai jalan keluar, bagi ibubapa yang inginkan anak-anak mereka yang cemerlang di bidang agama ini meneruskan kecemerlangan di peringkat menengah, carilah sekolah-sekolah agama persendirian yang tumbuh bagai cendawan di musim hujan terutama disekitar lembah kelang.

Bagaimana dengan sekolah menengah agama seliaan Majlis / Jabatan agama? Tidak adakah sekolah menengah agama?Ada! tetapi amat terhad di Bandaraya Kuala Lumpur dan terdapat beberapa buah di bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor. Apakah Jabatan/ Majlis Islam tidak memperdulikan anak-anak kelahiran mereka yang cemerlang di dalam Peperiksaan UPSRA. Sukar untuk menyatakan tahap kepedulian mereka terhadap pelajar-pelajar ini, tetapi dari pengalaman ibubapa yang menghadapi masalah ini, ternyata mereka juga menerima layanan yang sama sepertimana yang diterima daripada Kementerian. Prosedur dan syarat kemasukan ke sekolah Menengah seliaan Majlis/ Jabatan agama ini juga sama. Kecemerlangan UPSRA dipandang umpama kaca! UPSR ditatang umpama permata!. Amat mendukacitakan bila organisasi yang mendukung misi agama mempunyai nilaitanggap sedemikan terhadap pendidikan agama.

Bukankah kefahaman dalam ilmu agama adalah suatu anugerah istimewa daripada Allah berbanding ilmu-ilmu lain. Bukankah pernah disabdakan oleh Junjungan kita bahawa Sekiranya Allah SWA menyayangi seseorang hambanya, diberikan fakih (faham) dalam halehwal agama. Jelaslah  bahawa anak-anak yang cemerlang di bidang agama adalah anak-anak yang sangat Istimewa disisi Allah. Soalnya mengapa anak-anak ini dipingirkan oleh "ibu kandung" mereka sendiri.? Sudahlah sebelum ini mereka disisihkan oleh Kementerian. Ianya berpunca dari sifat mereka yang menawaitukan angka dalam misi dan visi perjuangan mereka. Mereka terlalu bimbang anak-anak / pelajar cemerlang subjek agama (UPSRA) tetapi tidak begitu cemerlang dalam subjek akademik (UPSR) boleh menjejaskan graf kecemerlangan peperiksaan sekolah. Hati sebak, kecewa dan terselit jua rasa marah ketika mendengar pengakuan seorang pengetua salah sebuah sekolah rendah agama di bandaraya Kuala Lumpur di dalam suatu majlis penyampaian anugerah kecemerlangan peperiksaan sekolahnya bahawa, 'cukuplah segala ilmu yang diperolehi disekolah tersebut digunakan untuk amalan dalam kehidupan sebab, kecemerlangan yang mereka perolehi ini belum menjamin tempat mereka di sekolah-sekolah menengah agama, baik di sekolah menengah agama Kementerian Pendidikan maupun sekolah menengah agama di bawah seliaan Majlis / Jabatan agama'!              

Sabtu, 4 Jun 2011

PENGORBANAN UNTUK GENERASI REMAJA YANG BAKAL MEWARISI KITA

Melihat kepada trend, senario dan pelbagai cerita-ceriti yang melingkari kehidupan golongan remaja hari ini, ramai ibubapa menggeleng-gelengkan kepala, menangis tak bernada, guru-guru sekolah bagaikan sudah kehilangan idea dan kata-kata. Ratusan malah ribuan kertas kerja berhubung permasalahan remaja telah diseminarkan, didialogkan dan diforamkan oleh para cerdikpandai, namun natijah dari semua genre itu tidak 'dikerjakan'. Segala idea, cadangan dan aneka formula hasil 'pecah kepala' para Doktor, cendikiawan dan profesor hanya tertinggal di dalam lembaran kertas kerja yang gagal dikerjakan. Dimanakah silapnya?

Penulis tidak bermaksud menunding jari kepada mana-mana pihak. Catatan ini tidak mengajak pembaca mencari 'salah siapa',namun realiti yang berada di depan kita menyaksikan golongan ibubapa dan pendidik sering menjadi sasaran berhubung permasalahan ini. Saya berpeluang menyertai puluhan sesi dialog dan pembentangan kertaskerja dan kesimpulannya ibubapalah yang perlu mendepani masalah ini dari sudut kepertanggungjawabannya! Pendeknya, ibubapalah segala-galanya.

Saya pula melihat berlaku ketidakadilan bila melihat punca permasalahan diletakkan secara total di pundak ibubapa. Ya! kita bersetuju golongan ibubapalah yang perlu memainkan peranan utama dalam menentukan baik buruk kehidupan seseorang anak sebagaimana sabdaan Junjungan Baginda Rasullullah SAW: "Setiap anak dilahirkan secara fitrah (suci), ibubapalah yang mencorakkannya samada menjadi Yahudi, Nasroni atau Majusi". Disini tarbiyah, pendidikan dan siri contoh tauladan sahsiah yang mulia perlu dilterapkan oleh ibubapa dalam persekitaran keluarga masing-masing. Kegagalan dalam misi penting disektor rumahtangga ini menjadi pemangkin kepada berlakunya keruntuhan akhlak anak-anak. Saya tidak berminat bermain dengan angka, mengulang-ulang soal peratusan angka anak-anak kita yang terjebak dalam pelbagai masalah sosial. Bagi saya, jangankan seratus atau seribu, seorang sahajapun anak kita yang terjerumus, sudah cukup untuk mencelakakan umat ini.. Saya menyatakan ia tidak adil bagi kalangan ibubapa yang telah bertungkus lumus mentarbiyyah dan mendidik anak-anak mereka secukupnya, namun terpaksa berdepan jua dengan masalah ini. Apakah tidak ada pihak lain yang melihat peranan  persekitaran, peraturan sosial, penguatkuasaan undang-undang juga patut memainkan peranannya secara bersepadu dalam menangani isu ini.

Adalah amat malang bagi anak-anak yang telah ditarbiyah dan mendapat pendidikan agama secukupnya daripada ibubapa akhirnya turut menjadi mangsa akibat suasana tidak sihat persekitaran masyarakatnya, kampungnya, daerahnya, negerinya malah negaranya!.Mungkin kita menuduh mereka ini tiada jatidiri dan rapuh ketahanan rohaninya. Kita boleh membuat pelbagai andaian, namun cuba fikirkan akan seekor kucing bijak yang telah dilatih untuk tidak memakan ikan yang terhidang, namun sang kucing ini saban hari terpaksa juga melalui lorong dan simpang yang menghidangkan pelbagai specis ikan. Berapa lama sang kucing bijak ini mampu bertahan melihat ikan yang terhidang dalam rutin kitaran kehidupannya. Mengapa pemilik dan penguasa lorong-lorong laluan sang kucing itu membiarkan ikan-ikan terhidang tanpa jagaan dan kawalan saban hari. Mengapa peraturan-peraturan tertentu bagi mengawal pelbagai aktiviti-aktivit sosial sang kucing dan ikan-ikan tidak dikuatkuasakan. Saya menggunakan analogi ini untuk mengambarkan bahawa faktor atau elemen undang-undang yang baik (berkesan mengikut syara'), penguatkuasaan, tahap kepedulian (cakna / prihatin) pihak penguasa tidak boleh dikesampingkan  Dimanakah peranan peguasa setempat baik di dalam komuniti masyarakat kampong, negeri dan yang terpentingnya negara.?Kita melihat sejujurnya bahawa peranan  pemerintah jarang-jarang, malah tidak berani dihighlightkan oleh masyarakat dalam membicarakan isu ini. Kalau pembaca sering mengikuti sesi pembentangan kertas kerja seperti yang saya sebutkan di atas, adakah anda pernah mendengar catatan dalam kertaskerja;"kerajaan perlu melaksanakan undang-undang islam bagi mengembalikan kehidupan harmoni masyarakat!"Ada? Yang kita dengar:"ibubapa, ibubapa, dan ibubapa"!Kita pula lebih rela bertuankan mereka yang tidak bersedia menegakkan peraturan, undang-undang dan hukum-hakam Allah serta dalam masa yang sama menentang golongan yang bercita-cita melaksanakannya. Membiarkan penguasa-penguasa jahat ini bermaharalela merangka, meminda peraturan dan undang-undang yang sesuai dengan akal fikiran mereka di Parlimen. Di mana pula peranan kita dari sudut ini. Untuk menjawabnya saya suka anda semua merujuk kembali mafhum hadis yang saya catatkan di atas. 'Semua anak dilahirkan didunia ini suci (Fitrah) dan ibubapalah yang mencorakkannya'.Tanya hati ketika membuat pilihan dan persoal tangan anda ketika membuat pangkahan dalam  pelihanraya! itulah jawapannya.

Marilah kita sama-sama merenung peranan kita dalam keluarga, masayarakat dan negara. Apakah ada sumbangan kita biarpun sebesar zarah? Kita mungkin telah berusaha memperelokan akhlak anak-anak kita dengan tarbiyyah sewajarnya. Saya menghantar keempat-empat anak saya kesekolah yang berorentasikan pendidikan agama disamping tarbiyah secara non-formal dalam keluarga. Tiga daripadanya di institusi pendidikan swasta yang menelan pembiyaan bulanan mencecah seribu sebulan, walaupun kehidupan saya sekadar 'cukup makan' sahaja. Saya tidak bermaksud untuk berbangga-bangga, tetapi untuk menyatakan perlunya kepada usaha berganda dalam urusan tarbiyah .Saya tidak mengharapkan lebih, sekadar mengimpikan anak saya menjadi seorang 'insan' dalam ertikata sebenarnya. Itu sahaja!Sekiranya dengan cara inipun mereka masih tidak menjadi 'manusia' saya kira, saya sudah mempunyai hujah di akhirat nanti.

Di dalam komuniti masyarakat setempat, marilah kita sama-sama meninjau halehwal kehiduan seharian anak-anak remaja kita. Menyantuni geraklaku mereka dalam mewarnai kecenderungan yang pelbagai aneka di zaman ciber dan langit terbuka ini. Anak-anak saudara, jiran tetangga serta sahabat handai kita adalah anak-anak kita juga dalam usaha pentarbiyahan. Bimbinglah, tegurlah dan ajarlah mereka sesuai dengan kemampuan serta kebolehan yang kita miliki. Curahkanlah sedikit pengorbanan semampu kita. Sebagai contoh, apalah sangat dengan cerita 'bola yang disepak oleh budak-budak terkena pagar rumah kita'!.Katalah, pecah sebiji lampu atau pasu bunga kita bernilai sepuloh dua puloh ringgit. Katakanlah pecah atau rosak peralatan rumah kita natijah dari 'budak-budak bermain' berlaku setiap bulan! (walaupun tidak mungkin berlaku sebegitu) Apakah itu nilai keruntuhan akhlak anak-anak muda yang boleh kita bayar sekiranya hak mereka untuk bermain dinafikan.Apakah itu harga yang hendak kita tebus bagi anak-anak muda kita yang memilih aktiviti tidak bermoral sebagai altenatif selain bermain bola. Berfikirlah secara waras dan bijaksana. Marilah kita tinggalkan generasi remaja kita ini dalam keadaan mereka menyanyangi dan mengingati kita seadanya. Janganlah sampai mereka tergamak kencingkan kuburkan kita lantaran kegagalan kita mentarbiyah mereka atau jalan kehidupan terlalu mementingkan diri yang telah kita pilih. Wallah hu a'lam.